Sunday 13 March 2011

Kisah 2 sahabat baik



Ini kisah 2 orang sahabat yang sangat baik. Seorang bernama Hitam dan seorang lagi bernama Putih. Mereka berdua sangat akrab dan keakraban mereka diketahui oleh orang kampung. Sehingga keakraban mereka diibaratkan sebagai belangkas. Ke mana sahaja pasti berdua. Makan bersama. Belajar bersama. Semua perkara dilakukan bersama. Betapa akrabnya mereka. Setelah sekian lama Hitam dan Putih bersahabat, tanpa diduga Hitam menyimpan perasaan hasad dengki kepada Putih kerana Putih mempunyai kelebihan yang lebih berbanding Hitam. Dari segi pelajaran, Putih mendahului Hitam. Dari segi fizikal tubuh badan juga begitu. Putih mempunyai wajah yang lebih kacak berbanding Hitam. Pendek kata, terlalu banyak kelebihan ada pada Putih. Oleh itu, Hitam berasa tidak puas hati dengan Putih kerana dia memiliki kelebihan lebih darinya. Maka timbullah hasad dengki di hatinya kepada sahabat baiknya itu. Maka benarlah bahawa syaitan itu kerjanya suka menghasut manusia supaya saling memusuhi saudaranya. Semakin hari semakin bertambah kebencian Hitam kepada Putih. Lebih-lebih lagi Putih lebih disayangi dan disenangi oleh orang kampung kerana kebaikan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Lama kelamaan hubungan mereka semakin renggang. Hitam mulai menjauhi Putih. Putih juga merasakan kerenggangan hubungannya dengan Hitam. Timbul di hatinya perasaan curiga dengan sikap Hitam yang semakin lama semakin jauh dengannya. Terfikir di benak fikirannya, adakah dirinya telah melakukan kesalahan kepada sahabatnya itu sehingga dia menjauhkan diri dan bersikap dingin kepadanya. Tetapi semakin difikir semakin dia tidak memahami. Semakin hatinya runsing kerana hubungan yang selama ini terjalin antara dia dan sahabatnya semakin retak dan mungkin juga akan terbelah jika tiada penyelesaian.

Puas menanti dan menanti, tetapi hubungan mereka masih dingin. Begitu tergamaknya Hitam, oleh kerana kebencian yang membuak-buka di dalam dirinya kepada Putih tidak dapat dibendung lagi, pada satu hari dia telah memfitnah Putih dengan berbagai-bagai fitnah dan tohmahan. Dia mereka-reka cerita palsu. Memburukkan nama baik Putih. Bukan setakat itu, dia menyebarkan fitnah itu kepada orang kampung. Cerita yang memalukan, menjatuhkan maruah dan mencemar nama baik Putih yang selama ini sangat disanjungi oleh orang kampung. Pada asalnya orang kampung tidak mempercayai kata-kata Hitam kerana mereka mengenali siapa Putih yang terkenal dengan kebaikan dan keluhuran budi tetapi lama-kelamaan mereka termakan juga dengan kata-kata fitnah Hitam. Kini bukan saja Hitam sangat membenci Putih malah orang kampung juga mula membenci dan menjauhinya. Hati siapa yang tidak sedih melihat orang menjauhi apatah lagi meminggirkan diri. Entah di mana silapnya Putih juga tidak mengetahui. Akhirnya terbongkar jua bahawa segalanya berpunca daripada cerita Hitam yang direka untuk menjatuhkan dirinya. Fitnah yang membuatkan dirinya semakin menderita. Sungguh dia tidak percaya orang yang dianggap sahabat baiknya itu sanggup mereka-reka cerita fitnah tentangnya. Sahabat baiknya itu juga menyebar fitnah kepadanya. Sahabat baik itu juga yang membuang dirinya begitu saja. Semakin lama dipendam semakin hatinya tidak mampu menahan. Derita di jiwa tiada siapa tahu. Segalanya diserahkan ALLAH. Hanya ALLAH tempatnya bergantung. Tempat untuk mengadu. Tempat untuk dia bergantung harap. Setiap hari dia berdoa agar ALLAH membuka hati semua untuk mereka ketahui siapakah yang berada di pihak yang benar dan siapakah yang berada di pihak yang salah. Ditanggung derita keseorangan tanpa sokongan. Sehinggakan apabila derita itu tidak mampu ditanggung lagi Putih ditimpa sakit yang berterusan sehingga dia nazak. Tidak lama kemudian barulah orang kampung mengetahui bahawa Putih tidak bersalah. Putih telah difinah. Difitnah oleh sahabat baiknya sendiri. Begitu zalimnya kelakuan Hitam kepada Putih. Orang kampung berasa bersalah kepada  Putih kerana mempercayai kata fitnah Hitam selama ni. Oleh kerana sifat dendam dan iri hati yang meraja dalam diri Hitam, dia sanggup menyakiti hati sahabat baiknya sehingga menyebabkan dia menanggung derita dan kini berhadapan saat-saat nazak yang bila-bila masa boleh merenggut ajal. Orang kampung tidak sanggup melihat penderitaan Putih dan mereka memberitahu Hitam bahawa sahabatnya itu sedang menghadapi saat nazak. Pada awalnya Hitam tidak mempedulikan kata-kata orang kampung kerana kedegilannya dan kebenciannya kepada Putih masih meraja dalam diri. Tetapi lama-kelamaan hatinya semakin tidak menentu. Fikirannya sering dibayangi dengan wajah Putih. Terbayang-bayang di kepalanya segala apa yang dilakukan kepada Putih. Segala kejahatan yang dilakukan kepada Putih. Segala kenangan manis mereka bersama bermain di kepalanya. Tetapi kerana hasad dengki dia menodai hubungan baik itu. Tiada sifat kasih juga tiada belas kasihan yang ada hanyalah kebencian, kedengkian yang membuak. Kini barulah dia menyesal kerana perbuatannya itu telah menyebabkan sahabatnya itu menderita dan sedang menghadapi saat nazak yang akan merenggut ajal. Terbitlah di hati Hitam untuk menziarahi Putih di rumahnya. Maka Hitam datang ke rumah Putih dan dia sangat terkejut melihat keadaan Putih. Terlalu berlainan daripada dulu. Terlalu banyak perubahan. Hitam mula menyesal dan dia menghampiri Putih. Dia menangis di tepi Putih. Lantas dia bersuara.


“Wahai putih, aku telah banyak melakukan dosa kepada kau. Aku memfitnah kau dengan bermacam-macam fitnah kerana aku mencemburui kau kerana kau banyak kelebihan berbanding aku. Aku tidak pernah puas hati dengan apa yang ada pada diriku sendiri. Aku benci melihat kau lebih berjaya daripada aku. Aku iri hati kau lebih disayangi orang berbanding diri aku. Aku tidak dapat menerima semua tu. Kerana sifat dengki tulah syaitan menghasut diriku untuk menyebarkan fitnah kepada kau. Aku semakin membenci kau. Semakin lama kita semakin jauh. Aku membuang kau kerana sikap aku yang jahat tu. Tapi sekarang aku dah menyesal putih. Aku menyesal dengan perbuatan aku selama ni kepada kau. Aku minta maaf putih… Aku minta maaf… Maafkan aku putih,maafkan aku… Air mata Hitam mengalir. Dia menangis di sisi Putih. Putih…Adakah kau maafkan aku? Maafkan aku putih… Maafkan aku..”


Kemudian Putih bersuara. Hitam… setelah sekian lama aku menderita, setelah sekian lama aku memendam rasa. Sehingga aku tidak sanggup menghadapinya dan kini aku menghadapi saat yang tersangat perit untuk aku terima. Kau tahu hitam… Tidak pernah terlintas di fikiran aku bahawa kau sanggup melakukan perkara begini kepadaku. Selama kita bersahabat, aku tidak pernah menyimpan perasaan curiga atas persahabatan kita ni. Tidak sesekali aku cemari dengan perasaan yang boleh meretakkan hubungan yang telah lama kita bina. Apa yang aku harapkan hanyalah keikhlasan dalam bersahabat. Aku mengharap kasih sayang antara kita. Susah senang sama-sama. Tapi kau telah cemari persahabatan kita hanya kerana sifat dengki kau kepadaku. Sanggup kau buat begitu? Kau tahu bahawa aku sangat sedih dan aku menderita dengan apa yang kau buat selama ni. Aku tak mampu tanggung lagi semua sengsara. Aku tak sanggup hitam..”

Hitam semakin teresak-esak. Dia bersuara lagi. “Putih,maafkan aku putih.. Maafkan aku.. Aku tahu aku bersalah. Aku minta maaf sepenuh hati aku putih.”

Putih bersuara lemah. “ Aku boleh maafkan kau hitam. Tapi ada syaratnya. Kau mesti lakukan apa yang aku suruh.”

“Apa dia putih? Aku sanggup lakukan apa saja asalkan kau maafkan aku.

“Baiklah hitam. Kau pergilah ke bandar dan kau belikan aku kekabu. Kemudian kau bawa ke sini.”


“Baiklah putih. Aku akan belikan untuk kau asalkan kau sanggup maafkan diriku.”


Maka Hitam pergi ke bandar untuk membeli kekabu yang disuruh oleh Putih. Setelah beberapa minit, Hitam kembali ke rumah Putih dengan membawa pulang kekabu yang dibelinya tadi. Dia lantas menuju ke arah Putih.


“Putih….ni dia kekabu yang kau suruh aku beli tadi. Sekarang kau dah maafkan aku kan?
“Wahai Hitam, aku belum boleh memaafkan kau lagi. Kau mesti melakukan satu kerja lagi untuk aku.”


“ Apa dia Putih? Aku akan lakukan asalkan kau sanggup maafkan aku.”


“Sekarang kau bawa kekabu yang kau beli tadi ke menara KLCC dan kau tebarkan ia. Kau sanggupkah?”


“Aku sanggup putih. Aku akan lakukan.”
Hitam pun pergi melakukan apa yang disuruh Putih. Dia pergi ke menara KLCC lalu menebarkan semua kekabu yang dia beli. Setelah itu, dia pulang semula ke rumah Putih.


“ Putih…Aku dah lakukan apa yang kau suruh tu. Sekarang kau dah maafkan aku kan?”


“Belum lagi Hitam. Kau mesti lakukan satu lagi kerja. Kalau kau sanggup dan mampu lakukan, aku akan maafkan semua kesalahan yang kau buat kepadaku selama ni.”


“Baiklah putih. Apa dia yang aku patut lakukan?”


"Sekarang kau kembali semula ke menara KLCC tadi, dan kau kutip semua kekabu yang kau dah tebarkan tu. Kalau kau mampu lakukan, aku akan maafkan kesalahan kau selama ni…"


 Terdiamlah Hitam di situ. Pastinya dia tak akan mampu melakukan syarat yang ketiga itu. Mana mungkin kekabu yang bertebaran itu dikutip kembali. Sesuatu yang sangat mustahil dilakukan. Menangislah dia di sisi Putih. Kerana Putih tidak memaafkan kesalahannya selama ni. Menyesal pun tidak berguna lagi. Kerana sifat dengki itulah yang buat dia merana. Kerana iri hati itu jugalah dia juga menanggung derita. Akhirnya Putih menghembuskan nafas terakhir. Hitam pula menderita kerana tidak mendapat kemaafan daripada Putih. Dia menyesal dengan perbuatannya. Inilah balasan yang dia patut terima atas segala apa yang dia telah lakukan kepada Putih. Barulah dia mengetahui bagaimana deritanya jiwa. Memfitnah orang yang tidak berdosa. Persahabatan dikhianati kerana sifat dengki. Keikhlasan dinodai kerana iri hati. Kasih sayang dicemari dengan sifat busuk hati. Semuanya tak akan berpatah balik. Yang berlalu terus berlalu. Dia kini seorang diri menanggung sengsara. Merasai betapa derita meneruskan kehidupan dengan perasaan bersalah. Sengsara kerana perbuatan diri sendiri memakan diri. Tiada apa yang boleh diperbaiki lagi. Putusnya persahabatan. Tiada lagi sahabat di sisinya. Dia menangis semahunya. Menyesali perbuatannya kepada sahabat baiknya itu. Tetapi,menyesal itu tidak berguna lagi. Putih yang pergi tak akan kembali lagi.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment