Saturday 1 October 2011

Nota Hati Buat Ayah

Dedikasi buat ayahanda yang dikasihi dan dicintai… Mahadun Bin Abdul  Rashid… Selamat ulangtahun kelahiran yang ke 59…



Buatmu ayahanda tercinta.. Salam rindu ku kirimkan.. Salam sesuci air telaga kauthar.. Salam sayang yang harumnya bak kasturi.. Salam syahdu nyamannya sedingin embun pagi.. Salam rindu sehangat mentari waktu dhuha.. Salam penghormatan dan kasih yang tidak pernah luntur hari demi hari..  Dari anakmu yang jauh di mata, tetapi hakikatnya dekat di hati ini…

Alhamdulillah.. Aku bersyukur kepada Allah kerana Dia masih memberi peluang kepada ayah untuk bernafas di atas muka bumi ini.. Setiap hari aku berdoa moga Allah panjangkan usia ayah agar aku dapat membalas jasa dan pengorbanan yang masih belum terbalas, dan mungkin juga tak terbalas..  Terlalu banyak pengorbanan yang ayah lakukan untuk membesarkan aku dan adik-beradik lain.. Memerah keringat tanpa mengira kepenatan.. Aku sedar jasa itu terlalu besar sehingga kini masih aku tak mampu untuk membalasnya..

Ayah..
Aku mahu belajar  erti ketabahan darimu.. Ibarat segunung ketabahan dalam dirimu, kau tabah dengan pelbagai ujian yang datang tanpa melatah.. Aku tahu jauh di hatimu terbit kerisauan tika ujian datang bertamu, tapi kau hadapi dengan tenang.. Aku tahu jiwamu gelisah tatkala dugaan menghampiri, tapi kau terima dengan hati yang tabah.. Ketabahan itu ada dalam jiwa lelakimu yang terselit di sebalik ketegasanmu..

Ayah..
Aku mahu belajar erti kesabaran darimu… Tatkala dihina, dicerca kau tidak membalas kembali, tetapi kau pujuk hati agar memaafkan mereka. Kadangkala hati tak mampu menahan gelodak jiwa, gelora hati.. Kadangkala terbit jua rasa marah tapi aku tenangkan hati. Aku masih ingat pesanmu . “ Biar orang buat jahat pada kita, kita jangan membalasnya”. Aku masih pegang kata-katamu itu. Di sebalik hati dan jiwa sabarmu itu, aku pahatkan agar aku boleh pelajari dan kutip nilai kesabaran darimu.

Ayah..
Aku mahu belajar erti kekentalan darimu.. Sifat tak pernah putus asa yang kau tanamkan dalam diri apabila menghadapi sesuatu perkara.. Sanggup berpenat lelah mencari rezeki buat kami anak-anakmu.. Bekerja siang malam mencari nafkah buat keluarga.. Melupakan kesakitan di saat ditimpa sakit.. Usiamu meningkat tetapi jasadmu masih kuat..  Seakan kau lupa bahawa usiamu bukan masih muda..

Ayah..
Terima kasih atas didikan yang ayah berikan padaku selama ini.. Didikan itulah yang membentuk peribadiku ..  Terima kasih atas segala pemberian yang tidak ternilai, harta dan wang ringgit.. Belum mampu ku bayar lagi.. Terima kasih atas setiap pengorbanan yang kau berikan, pengorbananku belum mencapai tahap pengorbananmu.. Terima kasih atas kasih sayang yang kau curahkan.. Kasih sayangku belum cukup memikatmu.. Halalkan segala makan minumku, halalkan juga darahmu yang mengalir di tubuhku ini..

Ayah..
Jika hari ini aku masih tidak mampu menjadi anak yang solehah penyejuk hatimu, maafkan aku wahai ayah.. Jika hingga saat ini, aku masih ada mengguris perasaanmu, maafkan aku wahai ayah.. Jika hingga waktu ini, aku masih belum memuaskan segala keinginan dan impianmu, maafkan aku wahai ayah.. Sesungguhnya aku sudah mencuba apa yang termampu untuk menjadi anak yang solehah buatmu.. Aku sudah berusaha untuk membalas jasa dan pengorbanan walaupun kadangkala terbit jua alasan..  Aku sedaya upaya untuk menjaga hatimu, agar kau tidak berkecil hati denganku.. 

Maafkan aku ayah, jika aku melukakan dan megguris hatimu.. Maakan aku jika telatah dan setiap tingkah lakuku membimbangkanmu..  Sesungguhnya aku sedang memperbaiki diri untuk menjadi yang terbaik sebagai anakmu… Aku sedang mencuba menjadi penyejuk hati dan matamu.. Aku sedang mencuba mendidik diri menjadi anak solehah sejati... Aku berdoa dan bermohon pada Allah, agar satu hari nanti kita dipertemu di syurga kekal abadi.. Ya ALLAH, rahmatilah hidup ayahku.. Berkatilah umurnya.. Limpahkanlah rezeki buatnya.. Ampunkanlah dosanya.. Sesungguhnya aku teramat sayang padanya… SAYANG AYAH KERANA ALLAH….  

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment